10 Tip Penting Untuk ‘Survive’ Ketika Bercuti Musim Sejuk
10 Tip Penting Untuk ‘Survive’ Ketika Bercuti Musim Sejuk
Bercuti pada musim sejuk sering menjadi impian ramai kerana keindahan salji, suasana bandar yang romantik serta pengalaman unik yang sukar dirasai di negara beriklim tropika.
Namun di sebalik pemandangan yang memukau dan udara dingin yang menyegarkan, cuaca sejuk melampau sebenarnya memberi cabaran besar kepada tubuh.
Terutamanya bagi mereka yang tidak biasa dengan perubahan suhu ekstrem. Tanpa persediaan yang betul, percutian yang sepatutnya menyeronokkan boleh bertukar menjadi pengalaman tidak selesa malah menjejaskan kesihatan.
Oleh itu, memahami cara menyesuaikan diri dengan cuaca musim sejuk amat penting sebelum melangkah keluar menikmati percutian. Dalam artikel ini, kami akan kongsikan 10 tip penting untuk survive ketika bercuti pada musim sejuk tanpa menjejaskan kesihatan.
Ianya merangkumi aspek pemilihan pakaian, penjagaan tubuh, keselamatan diri serta perkara kecil yang sering dipandang remeh tetapi memberi kesan yang besar.
Panduan ini disusun secara praktikal dan mudah difahami sesuai untuk pelancong kali pertama mahupun mereka yang ingin memastikan percutian musim sejuk berjalan lancar, selesa dan selamat dari awal hingga akhir.
1. Elakkan fabrik kapas
Ramai pelancong kali pertama tidak menyedari bahawa baju kapas sebenarnya kurang sesuai untuk dipakai sebagai lapisan pertama ketika musim sejuk.
Kapas cenderung untuk menyerap peluh dan mengekalkan kelembapan pada kulit. Ia akan menyebabkan badan menjadi cepat sejuk apabila terdedah kepada suhu rendah. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko hypothermia terutamanya jika berada lama di luar.
Sebagai langkah lebih selamat, lapisan asas yang diperbuat daripada merino wool atau fabrik sintetik berteknologi haba adalah pilihan terbaik kerana ia membantu mengekalkan suhu badan dengan lebih efektif.
Selain itu, fabrik ini juga cepat mengering dan memberikan keselesaan sepanjang hari walaupun ketika bergerak aktif di luar.
2. Lindungi mata daripada pantulan cahaya salji
Musim sejuk bukan sekadar mencabar tubuh dari segi kesejukan malah turut memberi kesan kepada penglihatan. Cahaya matahari yang memantul pada permukaan salji boleh menjadi sangat kuat dan menyilaukan walaupun ketika langit kelihatan mendung.
Pendedahan berlebihan kepada pantulan sinaran UV ini boleh menyebabkan snow blindness iaitu keadaan di mana mata menjadi pedih, berair dan penglihatan kabur buat sementara waktu.
Oleh itu, pemakaian cermin mata hitam yang mempunyai perlindungan UV berkualiti tinggi bukan sekadar aksesori gaya tetapi satu keperluan penting bagi melindungi mata dan memastikan penglihatan kekal selesa sepanjang aktiviti luar.
3. Kekalkan hidrasi
DI samping itu, cuaca sejuk juga sering mengaburi isyarat semula jadi badan. Ia akan menyebabkan kita jarang berasa haus walaupun tubuh sebenarnya kehilangan cecair secara berterusan.
Udara kering, pernafasan yang lebih kerap serta penggunaan pemanas dalaman boleh mempercepatkan proses dehidrasi tanpa disedari.
Jika tidak ditangani, keadaan ini boleh menyebabkan badan cepat letih, pening kepala dan sistem imun menjadi lemah. Oleh itu, membiasakan diri minum air suam secara berkala walaupun tidak rasa dahaga.
Ianya amat penting untuk mengekalkan tenaga, membantu pengawalan suhu badan dan memastikan kesihatan kekal optimum sepanjang percutian.
4. Pilih kasut musim sejuk yang sesuai
Kasut musim sejuk juga memainkan peranan besar dalam menentukan keselesaan dan keselamatan pergerakan. Kasut yang terlalu ketat mungkin kelihatan kemas namun sebenarnya boleh menghalang peredaran darah dan menyebabkan kaki menjadi lebih cepat sejuk serta kebas.
Kasut yang ideal seharusnya mempunyai sedikit ruang untuk stokin tebal atau thermal socks sekali gus membenarkan udara hangat terperangkap di dalamnya.
Selain itu, tapak kasut yang anti-gelincir serta bahan kalis air sangat penting untuk mengurangkan risiko tergelincir di atas permukaan salji atau ais yang licin.
5. Lindungi kulit
Selain itu, udara musim sejuk yang kering boleh memberikan kesan ketara kepada kulit. Keadaan udara yang sejuk akan menyebabkan kulit mudah merekah, mengelupas dan terasa pedih.
Tanpa perlindungan awal, bibir boleh menjadi pecah-pecah manakala kulit tangan dan muka menjadi kasar serta tidak selesa.
Oleh itu, sebelum keluar dari penginapan, biasakan diri menyapu lip balm pada bibir dan krim pelembap pada kawasan kulit yang terdedah. Langkah pencegahan ini bukan sahaja membantu mengekalkan kelembapan kulit malah melindungi lapisan kulit daripada iritasi akibat angin sejuk yang kuat.
6. Sesuaikan suhu badan
Peralihan mendadak daripada cuaca sejuk di luar ke ruang dalaman yang dipanaskan boleh memberi kejutan kepada tubuh. Membuka jaket atau lapisan pakaian secara tergesa-gesa boleh menyebabkan badan berpeluh secara tiba-tiba.
Seterusnya ia akan meningkatkan risiko selsema atau demam apabila kembali ke luar. Cara terbaik ialah membuka zip atau menanggalkan lapisan luar secara perlahan-lahan dan membenarkan tubuh menyesuaikan diri dengan perubahan suhu secara semula jadi dan lebih selesa.
7. Pastikan bateri telefon sentiasa dalam keadaan penuh
Antara lain, suhu sejuk juga boleh menjejaskan prestasi bateri telefon dengan ketara. Ia akan menyebabkan bateri telefon cepat susut walaupun penggunaan minimum.
Keadaan ini boleh menyukarkan komunikasi, navigasi atau urusan kecemasan ketika berada di luar. Oleh itu, pastikan telefon dicas sepenuhnya sebelum keluar dan simpan di dalam poket jaket bahagian dalam bagi membantu mengekalkan suhunya.
Membawa power bank sebagai sokongan tambahan juga sangat digalakkan. Terutamanya jika anda merancang aktiviti luar yang panjang atau berada jauh dari sumber elektrik.
Tambahan pula, memastikan peranti sentiasa berfungsi dengan baik akan memudahkan anda merancang perjalanan tanpa gangguan.
8. Bawa hand warmer
Hand warmer kecil sering dianggap remeh. Namun ia sangat berguna apabila suhu tiba-tiba turun mendadak atau tangan mula kebas akibat kesejukan.
Alat ini mudah disimpan di dalam poket dan boleh digunakan pada bila-bila masa untuk memanaskan tangan serta meningkatkan keselesaan.
Selain itu, ia juga membantu menstabilkan suhu badan secara keseluruha. Terutamanya ketika berada lama di kawasan terbuka atau menunggu pengangkutan dalam cuaca sejuk.
Menggunakannya secara berkala juga dapat mengurangkan risiko kekejangan otot dan ketidakselesaan akibat terdedah kepada cuaca ekstrem.
9. Gunakan pelembap udara
Penggunaan sistem pemanas di dalam bangunan juga boleh menjadikan udara dalaman terlalu kering. Keadaan ini sekali gus akan menyebabkan hidung, tekak dan kulit terasa tidak selesa.
Oleh itu, menggunakan humidifier di bilik penginapan dapat membantu untuk menambah kelembapan udara, mengurangkan rasa kering serta meningkatkan kualiti tidur pada waktu malam.
Walaupun kelihatan seperti langkah kecil, kesannya sangat besar terhadap keselesaan dan kesegaran tubuh keesokan harinya. Tambahan pula, udara yang lembap turut membantu sistem pernafasan berfungsi dengan lebih baik dan mengurangkan risiko kerengsaan saluran pernafasan ketika berada di kawasan sejuk.
10. Fahami isyarat badan
Dalam keterujaan meneroka destinasi musim sejuk, ramai yang cenderung mengabaikan keletihan atau ketidakselesaan badan demi mengejar jadual percutian yang padat.
Hakikatnya, cuaca sejuk boleh mempercepatkan keletihan fizikal dan mental tanpa disedari. Mendengar isyarat tubuh, mengambil rehat apabila perlu dan tidak memaksa diri berada di luar terlalu lama adalah langkah penting untuk menjaga kesihatan.
Percutian yang baik bukan diukur melalui jumlah tempat yang dilawati tetapi sejauh mana pengalaman itu dapat dinikmati dengan tubuh yang sihat dan bertenaga.
Sebagai penutup, percutian pada musim winter boleh menjadi pengalaman yang sangat indah dan bermakna jika disertai dengan persediaan yang betul serta kefahaman tentang keperluan tubuh dalam cuaca sejuk.
Setiap tip yang dikongsikan bukan sahaja untuk keselesaan tetapi juga penting dalam menjaga kesihatan dan keselamatan sepanjang perjalanan terutama apabila berdepan suhu rendah dan persekitaran yang berbeza daripada kebiasaan harian.
Jangan biarkan keindahan salji membuatkan anda alpa terhadap aspek asas penjagaan diri.
Ini kerana dengan perancangan yang rapi, sikap berhati-hati dan kesedaran terhadap isyarat tubuh, percutian musim winter bukan sahaja dapat dinikmati sepenuhnya malah meninggalkan kenangan manis tanpa risiko kesihatan.
Ingat, travel smart adalah kunci untuk pulang dengan pengalaman indah bukan pengalaman yang memenatkan.
Sumber : Indus Health Plus, Popular Science
BACA : Residensi Belia Cheras (DBKL) RM200 Sebulan Kini Dibuka
The post 10 Tip Penting Untuk ‘Survive’ Ketika Bercuti Musim Sejuk appeared first on Siakap Keli.
Game Center
Game News
Review Film
Rumus Matematika
Anime Batch
Berita Terkini
Berita Terkini
Berita Terkini
Berita Terkini
review anime