Minat Dipupuk Sejak Kecil Bawa Shahrul Selami Sejarah Kartografi Lama
Minat Dipupuk Sejak Kecil Bawa Shahrul Selami Sejarah Kartografi Lama
Dalam kehidupan ini, setiap orang sentiasa perlu membuat pilihan. Dari sekecil-kecil perkara hingga ke soal masa hadapan, semuanya perlu dibuat dengan sebaiknya.
Sama juga apabila kita memilih kerjaya, ada yang bertuah dan mendapat rezeki untuk bekerja dalam bidang yang diimpikan. Pilihan itu pula dikuatkan lagi dengan minat yang bercambah sejak kecil lagi.
Seperti kisah Shahrul Azzim Abd Aziz, 36, yang kini terlibat dalam bidang penyelidikan kartografi.
Minat dipupuk sejak kecil
Terlibat dalam pelbagai projek kartografi, minatnya dalam bidang itu bermula sejak zaman kanak-kanak. Menurutnya hati mula tertarik dengan naskah peta yang terdapat di dalam kebanyakan diari, selain daripada bola glob yang banyak dijual di pasaran ketika zaman kanak-kanaknya dahulu.
“Ketika kecil, saya kerap melakar peta Malaysia, Terengganu dan Melaka di atas apa jua medium termasuk kertas dan bahagian kosong kulit buku. Terengganu dan Melaka menjadi salah satu peta terawal yang selalu dilakarkan kerana itulah dua negeri di mana tempat saya dibesarkan.
“Selain daripada itu, ke mana sahaja saya pergi, saya gemar mencari, melihat, menganalisis dan melukis semula peta-peta setiap lokasi yang dituju. Saya juga gemar mengambil risalah pelancongan yang terdapat di kawasan penginapan dan pelancongan kerana dari situ saya boleh melihat peta kawasan tempatan.
“Ibu dan bapa saya, Abd Aziz Mohd Yusoff dan Shamsiah Mohd Yunus juga gemar membelikan saya buku atlas dan daripada situ, saya lebih memahami secara asas tentang konsep geografi dan kartografi,” katanya kepada SK.
Beliau yang turut digelar sebagai Encik Kartografi mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian) pengkhususan di dalam Alam Sekitar dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) pengkhususan di dalam bidang pengurusan. Kini beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di salah sebuah universiti di Malaysia.
Selain itu, beliau juga merupakan pengerusi Persatuan kartografi Melaka iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan tentang kajian dan analisis sejarah berasaskan naskah kartografi.

Bidang impian
Ketika ditanya apa momen pertama yang membuatkan beliau sedar ini bidang hidupnya, Shahrul berkata ia hadir seiring dengan pendidikan formal yang diterimanya sejak kecil.
“Semakin meningkat usia, semakin banyak pendidikan formal berkaitan penggunaan unsur kartografi dipelajari. Bermula daripada sekolah rendah yang melibatkan pembelajaran yang mengaplikasikan bidang ilmu tersebut di dalam subjek Kajian Tempatan dan seterusnya subjek Geografi di sekolah menengah di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR).
“Seterusnya, ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya merupakan satu-satunya pelajar beraliran Sains Tulen di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Bendahara (SMKDB), Jasin, Melaka yang mengambil subjek Geografi sebagai subjek tambahan di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperoleh gred yang paling cemerlang.
“Walaupun pada waktu itu tiada kelas yang diwujudkan untuk subjek Geografi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah saya, dua orang guru saya iaitu Puan Fauziah Omar dan Puan Jamilah Mahmud merupakan antara insan yang banyak membantu saya di dalam subjek ini dan mereka memberikan semangat dan motivasi yang tinggi kepada saya sehingga mampu mencapai kejayaan di dalam subjek ini bersama subjek-subjek yang lain ketika peperiksaan SPM tahun 2006.
“Saya juga merupakan Pengerusi Persatuan Sejarah dan Geografi di sekolah menengah selama tiga tahun.
“Ketika melangkah ke pengajian tinggi di peringkat ijazah sarjana muda, penggunaan ilmu kartografi dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang diterap dan digunapakai di dalam beberapa buah subjek antaranya Hidrologi Air Permukaan dan Air Bawah Tanah, Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Teknologi Kawalan Pencemaran Udara, Kawalan Bunyi, Suara dan Getaran, Pengurusan Sisa Pepejal Berbahaya, Teknologi Rawatan Air Sisa, Teknologi Rawatan Air, Sistem Pengurusan Alam Sekitar serta Reka Bentuk Kejuruteraan Alam Sekitar selain daripada projek tahun akhir kerana bidang pengajian saya iaitu teknologi kejuruteraan kimia yang memfokuskan kepada major dalam alam sekitar,” katanya.
Momen-momen ini membuatkan bersemangat di dalam bidang kartografi dan ia tidak pernah terpadam sejak dari zaman kanak-kanak sehingga kini.
Kepentingan bidang kartografi
Pernah bergelar sebagai jurutera di pelbagai syarikat korporat, GLC dan MNC, beliau secara peribadi berpendapat bahawa bidang kajian kartografi boleh dianggap sebagai satu alat perakam sejarah.
Ia merakam peristiwa, keadaan dan situasi yang berlaku pada suatu waktu tertentu.
Melalui peta, kita bukan sahaja melihat gambaran geografi tetapi juga memahami konteks sejarah, politik, ekonomi dan sosial pada zaman peta tersebut dihasilkan.
“Setiap elemen di dalam peta seperti sempadan, nama tempat, simbol, laluan dan skala yang digunakan telah mencerminkan kefahaman, kepentingan serta keutamaan masyarakat pada zaman itu.
“Oleh itu, kartografi bukan sekadar medium visual tetapi satu dokumen sejarah yang dinamik dan membolehkan kita menelusuri dan mentafsir kembali peristiwa serta realiti pada masa lalu melalui perspektif ruang dan masa,” ujarnya.
Selama ini, mungkin ramai yang menganggap kartografi hanya sekadar melukis dan mengkaji peta atau tidak pernah mendengar sama sekali mengenai bidang tersebut, namun ia sebenarnya mempunyai skop yang sangat luas.
Shahrul menjelaskan bahawa bidang kartografi sebenarnya berfungsi sebagai alat tafsiran yang mampu merungkai rahsia dan peristiwa yang berlaku pada masa lalu.

Menurutnya, skop penyelidikan kartografi yang dilakukan merangkumi analisis mendalam terhadap peta lama dengan meneliti elemen sebagai contoh seperti skala, simbol, toponim, catatan bertulis dan konteks penghasilan peta.
Proses itu sangat penting dalam memahami tujuan, pengetahuan dan sudut pandang yang dibuat oleh ahli kartografi.
“Melalui perbandingan silang antara peta, teks sejarah, catatan pelayaran dan sumber arkib yang lain, ahli kartografi berupaya mentafsir perubahan sempadan, laluan perdagangan, pusat kuasa politik, pola penempatan dan interaksi budaya yang tidak selalu direkodkan secara bertulis.
“Dalam konteks ini, kartografi menjadi disiplin interpretatif yang membolehkan peta dibaca sebagai dokumen sejarah yang menyimpan naratif tersembunyi dan bukan sekadar gambaran geografi semata-mata,” jelasnya.
BACA JUGA: Bukan Sekadar Cari Untung, 37 Tahun Ayam Bismi Kekal Pegang Prinsip Halalan Toyyiban
Malah, kartografi juga memainkan peranan yang sangat penting dalam situasi kritikal kerana ia membantu pihak berkuasa dan pembuat keputusan memahami keadaan sebenar berdasarkan lokasi dan keadaan geografi setempat.
“Dalam konteks bencana alam, kartografi berpotensi digunakan dalam mengenal pasti kawasan berisiko tinggi seperti zon banjir dan tanah runtuh, seterusnya merancang laluan pemindahan serta menyokong operasi menyelamat.
“Dalam perancangan bandar pula, kartografi berupaya dalam membantu mengatur penggunaan kawasan, menentukan lokasi infrastruktur penting seperti hospital dan balai bomba, mengurus kepadatan penduduk serta mengurangkan risiko bencana yang selalu berlaku di kawasan bandar seperti banjir kilat dan kesesakan trafik.
“Dari sudut keselamatan dan pertahanan, kartografi berfungsi sebagai alat strategik untuk analisis rupa bentuk muka bumi, pemetaan kawasan sensitif, perancangan rondaan keselamatan dan operasi kecemasan di samping mengenal pasti hotspot jenayah dan laluan logistik.
“Secara keseluruhan, kartografi membolehkan data yang kompleks divisualkan dengan jelas, mempercepatkan proses membuat keputusan, meningkatkan ketepatan dalam tindakan dan akhirnya menyelamatkan nyawa serta mengurangkan kerugian dalam situasi yang kritikal,” katanya.

Sumber naskhah dari pelbagai negara
Menurutnya lagi, penyelidikan kartografi yang dilakukan olehnya adalah bersumberkan kepada naskah kartografi dalam bentuk salinan digital yang diperoleh daripada simpanan arkib dan perpustakaan dalam dan luar negara. Ia termasuk dari Australia, Belanda, United Kingdom, Amerika Syarikat, Brazil, Portugal serta beberapa lagi negara lain.
“Selain itu, kajian ini turut memanfaatkan sumber daripada buku-buku lama yang diterbitkan sekitar abad ke-17 hingga abad ke-19 termasuk koleksi kartografi bersejarah yang telah dicetak semula yang diterbitkan di dalam buku terkini.
“Bagi menyokong analisis sejarah berkaitan peta-peta tersebut, saya juga merujuk kepada artikel dan penulisan akademik terdahulu dalam bidang sejarah, geografi dan kartografi yang telah diterbitkan oleh para ilmuan sebelum ini,” katanya.

Banyak cabaran dihadapi
Bagaimanapun, beliau yang juga mengetuai sebuah institusi penyelidikan kartografi swasta iaitu Etiquity Cartographic Research Centre (ECRC) sebagai Ketua Pegawai Penyelidikan mengakui ada banyak cabaran yang perlu ditempuh dalam bidang ini.
Antara cabaran yang paling besar ialah proses penghuraian informasi di dalam peta lama.
“Penggunaan bahasa inggeris, portugis, latin dan beberapa bahasa lain versi lama yang membuatkan proses penterjemahan maklumat di dalam naskah kartografi agak mengambil masa.
“Selain daripada itu, pencarian naskah kartografi lama tanah air yang tersimpan di dalam arkib luar negara terutamanya di dalam bentuk salinan digital juga merupakan salah satu cabaran besar kerana untuk mencari peta yang lebih terperinci, kata kunci yang bersesuaian haruslah digunakan untuk mendapatkan peta yang lebih tepat dan dipercayai,” katanya.
Ujarnya lagi, projek paling mencabar yang dilakukannya sepanjang terlibat di dalam bidang penyelidikan kartografi ini ialah Railway Cartographic Research Project (RailCREP).
Projek ini memfokuskan tentang penggunaan naskah kartografi lama dalam usaha mengesan lokasi bersejarah yang pernah menempatkan stesen dan juga fasiliti jaringan landasan kereta api lama yang pernah wujud suatu ketika dahulu.
Cabarannya adalah untuk mengesan lokasi asal yang pernah menempatkan stesen kereta api dan fasiliti seperti jajaran landasan, jambatan, turntable, lintasan rata dan lain-lain yang sebahagiannya tidak lagi wujud pada masa kini.
Di samping itu, penjejakan kawasan tersebut kadangkala agak berbahaya dan mencabar kerana ada sebahagiannya yang terletak di kawasan yang jauh dari penempatan manusia, bersemak-samun dan juga didiami binatang berbisa.

Rungkai kehebatan Kesultanan Melayu Melaka
Namun di sebalik ranjau dan liku-liku itu, beliau juga terlibat dalam projek penyelidikan yang membanggakan iaitu dapat merungkaikan kehebatan dan keagungan Kesultanan Melayu Melaka di dalam beberapa buah naskhah kartografi lama yang berusia sekitar 500 tahun.
“Di dalam naskhah kartografi tersebut, terdapat kenyataan yang menceritakan tentang kehebatan Kota Melaka yang merupakan sebuah pelabuhan utama, pusat perbandaran yang besar dan pusat perdagangan dan pemerintahan utama yang hebat di rantau ini,” katanya.
Suka duka yang dilalui menguatkan lagi semangatnya untuk terus berkecimpung di dalam bidang ini. Beliau tidak pernah merasakan untuk berhenti atau ragu-ragu dengan pilihan kerjaya ini kerana ia merupakan salah satu bidang ilmu yang amat dicintainya.
“Sebagai penyelidik kartografi, saya merasakan satu tanggungjawab besar selaku rakyat Malaysia yang harus digalas dalam usaha menggali sejarah dan maklumat yang dapat dirungkai daripada naskah kartografi.
“Kehebatan dan keagungan sejarah negara kita sememangnya tidak dapat disangkal lagi dan pada pendapat saya, naskah kartografi seharusnya menjadi salah satu sumber utama dalam membuktikan sejarah, peristiwa dan sesuatu kenyataan,” katanya lagi.
Ditambah pula dengan kerjasama bersama rakan pasukan di ECRC yang terdiri daripada lima orang penyelidik utama dan sekumpulan penyelidik di Persatuan Kartografi Melaka, segala cabaran di dalam bidang ini mampu ditempuhi bersama.

Kartografi tetap menjadi bidang yang diminatinya walaupun jika diundurkan masa, beliau tetap ingin memilih kerjaya yang berkaitan bidang ini.
“Jika boleh diundurkan masa, saya ingin menjadi seorang jurutera alam sekitar di syarikat atau agensi yang memfokuskan kepada penggunaan aplikasi yang melibatkan pemetaan seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS).
“Walaupun masa telah berlalu dan saya menjadi seorang jurutera di syarikat pembuatan produk aeroangkasa, industri elektronik dan beberapa lagi industri lain, minat terhadap kartografi tidak pernah terpadam,” katanya.
Landskap bidang kartorgrafi di Malaysia
Ditanya mengenai pandangannya tentang landskap bidang kartografi di Malaysia, beliau berkata kartografi di negara ini telah mengalami revolusi yang ketara daripada segi peranan, teknologi dan pendekatan sejak dahulu hingga kini.
Mengulas lanjut, kartografi di Malaysia pada awalnya tertumpu kepada penghasilan peta asas secara manual untuk tujuan pentadbiran kolonial, pemetaan sempadan, pelayaran dan juga ketenteraan dengan kaedah ukur tanah yang konvensional serta lukisan tangan sebagai teras utama.
Memasuki era selepas kemerdekaan, kartografi berkembang sejajar dengan keperluan pembangunan negara apabila peta digunakan secara lebih meluas dalam perancangan guna tanah, infrastruktur, sumber asli dan keselamatan.
“Pada masa kini, kartografi di Malaysia telah beralih kepada pendekatan digital dan berasaskan geospatial dengan penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS), penderiaan jauh, satelit, dron dan data masa nyata menjadikan peta bukan sekadar produk visual tetapi alat analisis dan sokongan dalam membuat sesuatu keputusan,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan anak muda atau generasi akan datang yang meminati bidang kartografi untuk meneruskan minat tersebut.
Hal ini kerana, bidang kartografi merupakan satu disiplin yang dinamik dan sentiasa berkembang sama ada melalui teknologi moden mahupun kajian sejarah dan interpretasi peta lama.
“Anak muda digalakkan untuk memupuk rasa ingin tahu, berani meneroka dan tidak pernah sesekali rasa berputus asa. Paling penting, bina minat yang tulen terhadap peta kerana dengan minat tersebut, kartografi bukan sekadar bidang ilmu tetapi berupaya memupuk cara berfikir dan memahami dunia dengan lebih mendalam,” katanya.
Bagi anda yang ingin mengikuti perjalanan Shahrul dan projek kartografi yang dilakukannya, anda boleh mengikuti laman Facebook beliau.
The post Minat Dipupuk Sejak Kecil Bawa Shahrul Selami Sejarah Kartografi Lama appeared first on Siakap Keli.
Game Center
Game News
Review Film
Rumus Matematika
Anime Batch
Berita Terkini
Berita Terkini
Berita Terkini
Berita Terkini
review anime