Ozzy Osbourne Meninggal Dunia
Ozzy Osbourne Meninggal Dunia
Vokalis legenda kumpulan heavy metal Black Sabbath, Ozzy Osbourne meninggal dunia pada Selasa, lapor AFP.
Berita mengenai pemergian penyanyi berusia 76 tahun itu dimaklumkan oleh keluarganya.
Disahkan menghidap penyakit Parkinson pada 2019, Osbourne meninggal dunia dua minggu selepas beraksi di konsert perpisahan di bandar kelahirannya di Birmingham, England.
“Dengan kesedihan yang mendalam, kami perlu memaklumkan bahawa Ozzy Osbourne yang dikasihi telah meninggal dunia pagi ini.
“Kami meminta semua orang menghormati privasi keluarga kami pada masa ini,” kata keluarganya dalam satu kenyataan.
Digelar sebagai “Putera Kegelapan”, Osbourne memainkan peranan penting dalam merintis muzik heavy metal, sebuah cabang rock keras. Manakan tidak, Black Sabbath menikmati kejayaan komersial yang besar pada tahun 1970-an.
Album sulung Black Sabbath pada tahun 1970 berjaya mendaki carta 10 teratas UK dan membuka jalan untuk rentetan rekod hit. Mereka telah menjual lebih daripada 75 juta album di seluruh dunia.
BACA JUGA: Disyaki Meninggal Dunia Sejak Oktober 2024, Mayat Humaira Asghar Ditemui Mereput
Dilahirkan sebagai John Michael Osbourne pada 3 Disember 1948 di Birmingham, mendiang menamatkan sekolah pada usia 15 tahun dan melakukan pekerjaan buruh termasuk kerja kilang sebelum bergandingan dengan rakan sekolah, Geezer Butler dalam beberapa kumpulan.
Dia menutup tirai kerjaya awal bulan ini apabila Black Sabbath menyanyikan lagu-lagu mereka yang paling ikonik di hadapan orang ramai di Villa Park.
“Ia adalah lagu terakhir. Sokongan anda telah membolehkan kami menjalani gaya hidup yang menakjubkan. Terima kasih dari lubuk hati kami,” kata Osbourne kepada orang ramai selepas menamatkan persembahan dengan lagu paling terkenal kumpulan itu, “Paranoid”.
Kumpulan itu telah dimasukkan ke dalam Rock & Roll Hall of Fame pada tahun 2006 dan Osbourne telah diiktiraf untuk kali kedua tahun lepas sebagai artis solo.
Pada 2023, beliau berehat daripada membuat persembahan selepas pembedahan tulang belakang yang agak serius.
Sebelum itu, Osbourne telah terjatuh di rumah pada 2019, memburukkan lagi kecederaan akibat kemalangan basikal quad yang hampir maut pada 2003.
Sumber: AFP
The post Ozzy Osbourne Meninggal Dunia appeared first on Siakap Keli.
Game Center
Game News
Review Film
Rumus Matematika
Anime Batch
Berita Terkini
Berita Terkini
Berita Terkini
Berita Terkini
review anime