Bulan Akan Merah 3 Mac Ini, Kenali Fenomena “Blood Moon”
4 mins read

Bulan Akan Merah 3 Mac Ini, Kenali Fenomena “Blood Moon”


Bulan Akan Merah 3 Mac Ini, Kenali Fenomena “Blood Moon”

Fenomena alam yang berlaku selalunya mencuri perhatian manusia kerana keindahannya yang menakjubkan dan kadangkala luar biasa.

Dari kemunculan pelangi selepas hujan, gerhana matahari hinggalah aurora, setiap kejadian tersebut membawa keindahan yang unik dan rasa ingin tahu yang mendalam.

Malah, fenomena alam yang berlaku ini juga kadangkala mampu mengingatkan kita tentang kekuatan dan keseimbangan alam semesta.

Salah satu fenomena yang mungkin menarik perhatian manusia ialah fenomena gerhana bulan.

Tidak lama lagi, gerhana bulan penuh (blood moon) dijangka akan berlaku pada 3 Mac, di mana bulan kelihatan berwarna merah atau kelihatan seolah berdarah.

Justeru, artikel kali ini akan berkongsi fakta menarik mengenai fenomena ini yang perlu anda ketahui.

Bagaimana gerhana bulan berlaku?

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaaan (NASA), gerhana bulan ini biasanya berlaku apabila bumi berada tepat di antara matahari dan bulan, menghasilkan bayang-bayang yang besar di permukaan bulan.

Mengapa ia dipanggil “blood moon”

Semasa gerhana, bulan kelihatan berwarna merah tua atau jingga. Ia berlaku kerana bumi menyekat sebahagian besar cahaya matahari daripada sampai ke bulan.

Cahaya yang sampai ke permukaan bulan ditapis melalui bahagian atmosfera bumi yang tebal, seolah-olah semua matahari terbit dan terbenam di dunia diunjurkan ke bulan.

Kredit: NASA Science

Fasa gerhana bulan penuh

NASA turut menerangkan fasa pembentukan gerhana bulan penuh ini mengikut waktu di Amerika Syarikat.

Berikut fasanya:

Gerhana penumbral bermula

Sekitar jam 3:44 pagi, bulan memasuki penumbra bumi, iaitu bahagian luar bayang-bayang. Bulan mula menjadi malap, tetapi perubahan ini agak halus dan sukar dilihat dengan jelas.

Gerhana partial bermula

Pada jam 4:50 pagi, bulan mula memasuki umbra bumi dan gerhana separa bermula. Dengan mata kasar, apabila bulan bergerak ke dalam umbra, ia akan kelihatan seperti sebahagian daripada cakera bulan digigit.

Bahagian bulan yang berada dalam umbra juga akan kelihatan sangat gelap.

Gerhana bulan penuh berlaku

Pada jam 6:04 pagi pula, keseluruhan bulan kini berada dalam umbra bumi.

Bulan akan kelihatan berwarna merah tembaga. Untuk melihat kejadian ini dengan lebih jelas, anda dinasihatkan untuk menggunakan teropong atau teleskop.

Sekiranya anda ingin mengambil gambar, gunakan kamera dengan tripod dengan pendedahan (exposure) sekurang-kurangnya beberapa saat.

Gerhana bulan penuh berakhir

Sekitar jam 7:03 pagi, bulan keluar daripada umbra bumi dan warna merah mula pudar.

Dengan mata kasar, ia kelihatan seperti sebahagian daripada cakera bulan digigit dari sisi yang bertentangan daripada sebelumnya.

Gerhana partial berakhir

Pada jam 8:17 pagi pula, seluruh bulan berada dalam penumbra Bumi.

Namun, perubahan malapnya agak halus dan sukar dilihat dengan jelas.

Gerhana penumbral berakhir

Gerhana dijangka berakhir pada jam 9:23 pagi.

Bagaimana cara untuk menyaksikan fenomena ini?

Bagi yang ingin melihat fenomena ini dengan lebih jelas, anda boleh menyaksikannya tanpa sebarang peralatan khas. Namun, apa yang anda perlukan cuma pandangan yang jelas ke arah bulan.

Selain itu, anda juga perlu berada di kawasan yang lebih gelap dan jauh dari cahaya atau gunakan teropong ataupun teleskop.

Pada 3 Mac, fasa gerhana sepenuhnya akan dapat dilihat pada waktu petang di kawasan Asia Timur dan Australia.

Di kawasan Pasifik pula, orang ramai boleh menyaksikannya sepanjang malam dan awal pagi di Amerika Utara dan Tengah serta bahagian paling barat Amerika Selatan.

Gerhana ini juga kelihatan separa di Asia Tengah dan sebahagian besar Amerika Selatan. Namun, di kawasan Afrika atau Eropah, tiada gerhana yang dapat dilihat.

Apabila bayang-bayang bumi menggelapkan permukaan bulan, buruj-buruj di langit mungkin lebih mudah dilihat berbanding kebiasaannya ketika bulan penuh.

Fenomena lain yang boleh disaksikan pada malam gerhana bulan berlaku

Beberapa hari kemudian, pada 8 Mac, anda boleh perhatikan fenomena konjungsi antara Zuhrah dan Zuhal.

“Dari perspektif kita di bumi, kedua-dua planet ini akan kelihatan berdekatan antara satu sama lain di langit, walaupun sebenarnya mereka masih sangat jauh antara satu sama lain di angkasa,” tulis NASA lagi.



Game Center

Game News

Review Film
Rumus Matematika
Anime Batch
Berita Terkini
Berita Terkini
Berita Terkini
Berita Terkini
review anime

Gaming Center