
Komuniti ATM Terima Lebih RM500,000 Sumbangan LTAT Dan Syarikat Kumpulan
Komuniti ATM Terima Lebih RM500,000 Sumbangan LTAT Dan Syarikat Kumpulan
KUALA LUMPUR, 2 Oktober 2025 – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersama Syarikat Kumpulannya sekali lagi membuktikan solidariti padu terhadap komuniti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menyumbang keseluruhan berjumlah RM510,500 bagi menyokong usaha bantuan dalam negara serta misi pengaman antarabangsa.
Inisiatif dua hala ini mencerminkan komitmen berterusan LTAT dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga ATM yang telah mengabdikan diri demi mempertahankan kedaulatan negara, di samping menzahirkan nilai keamanan dan ihsan Malaysia di persada dunia.
Berdiri Teguh Bersama Keluarga ATM di Saat Krisis
Susulan banjir dan tanah runtuh yang melanda Sabah baru-baru ini, LTAT, Syarikat Kumpulannya serta rakan strategik telah menyalurkan RM400,000 kepada Tabung Kecemasan Bencana Alam ATM. Sumbangan ini bukan sahaja bertujuan memberikan bantuan kewangan segera untuk operasi pemulihan, malah sebagai tanda solidariti bersama warga ATM serta keluarga mereka yang terkesan secara langsung.
Sumbangan kolektif ini direalisasikan melalui usaha bersama LTAT, Affin Bank Berhad, Boustead Holdings Berhad, BHIC Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES), Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), Boustead Plantations Berhad (BPlant), Pharmaniaga Berhad, Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), Boustead Hotels & Resorts (BHotels), Mutiara Spaces by Boustead Properties (BProp), UAC Berhad, Power Cables Malaysia, Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) dan rakan strategik, Trans Resources Corporation Sdn Bhd.
Majlis penyerahan replika cek telah diadakan semasa Program Jelajah Wira MADANI anjuran Kementerian Pertahanan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 26 September 2025. Sumbangan tersebut diterima secara rasmi oleh Leftenan Jeneral Dato’ Azhan Hj Md Othman, Ketua Staf Markas ATM, bagi pihak Jeneral Tan Sri Haji Mohd Nizam Haji Jaffar, Panglima Angkatan Tentera, disaksikan oleh Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan.
Selain sumbangan kewangan, Pharmaniaga Berhad turut menggerakkan Skuad Operasi Sihat (“SOS”) untuk menghantar bantuan makanan dan barangan keperluan ke enam (6) Pusat Pemindahan Sementara (“PPS”) di Penampang dan Membakut.
Tindakan pantas ini memberi kelegaan segera kepada keluarga yang dipindahkan, sambil mencerminkan pendekatan holistik kumpulan yang merangkumi sokongan kewangan serta tindakan kemanusiaan di kawasan bencana. Pasukan SOS juga turut menyalurkan bantuan kepada kakitangan Pharmaniaga yang terkesan, melambangkan nilai ihsan dan daya tahan pada saat getir.
Menyokong Peranan Pengaman Malaysia di Pentas Dunia
LTAT dan Syarikat Kumpulannya turut memperkukuh sokongan terhadap Kontinjen Batalion Malaysia (MALBATT) yang ditempatkan di bawah United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL). Pada tahun ini, sebanyak RM110,500 berjaya dikumpulkan bagi memperkasa program Civil-Military Coordination (CIMIC) yang dilaksanakan oleh MALBATT 850-13, meningkat daripada RM75,000 yang dikumpulkan pada tahun 2024 bagi kontinjen sebelumnya.
Sumbangan ini akan membolehkan MALBATT meneruskan program kemanusiaan dan bantuan komuniti, termasuk penyaluran barangan keperluan kepada penduduk yang terdedah dalam keadaan konflik berpanjangan di Lubnan. Inisiatif CIMIC ini bukan sahaja meringankan beban masyarakat setempat, malah mencerminkan komitmen Malaysia terhadap keamanan dan tanggungjawab sejagat.
Majlis simbolik penyerahan sumbangan telah berlangsung pada 1 Oktober 2025 di Perkampungan MALBATT, Port Dickson, menandakan tahun kedua berturut-turut LTAT dan Syarikat Kumpulannya menyelaraskan sokongan untuk misi kemanusiaan MALBATT di luar negara.
Sokongan yang semakin meningkat ini mencerminkan keperluan di lapangan yang kian meluas serta tekad LTAT untuk memastikan Malaysia terus dihormati sebagai penyumbang yang berwibawa dalam misi pengaman antarabangsa.
Antara syarikat yang menyumbang adalah Boustead Holdings Berhad, Mutiara Spaces by Boustead Properties (BProp), Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), Boustead Plantations Berhad (BPlant), Pharmaniaga Berhad, Power Cables Malaysia, Dhaya Maju LTAT, Wasco Coatings Malaysia Sdn Bhd serta Affin Bank Berhad.
En. Mohammad Ashraf Md Radzi, Ketua Eksekutif LTAT, menyatakan “Tanggungjawab kami di LTAT melangkaui pengurusan simpanan persaraan Angkatan Tentera. Ia adalah amanah moral untuk berdiri bersama komuniti ATM dalam setiap cabaran yang mereka hadapi, sama ada di tanah air ketika bencana melanda, mahupun di arena antarabangsa dalam misi keamanan.”
“Sumbangan ini lebih daripada sekadar komitmen kewangan. Ia adalah simbol solidariti, keprihatinan dan tanggungjawab bersama. Kami berbangga dapat berjalan seiring dengan wira negara, memastikan kebajikan mereka terpelihara sambil mengangkat martabat Malaysia sebagai sebuah negara berprinsip yang menjunjung keamanan dan kecekalan.”, tambah beliau.
Menerusi kedua-dua inisiatif ini, LTAT bersama Syarikat Kumpulannya terus memperkukuh jaringan sokongan sosial bagi warga ATM, bagi memastikan setiap pengorbanan mereka dihargai dengan bantuan yang nyata dan bermakna. LTAT kekal komited kepada mandatnya dalam melindungi simpanan anggota ATM, sambil memupuk budaya ihsan, ketahanan dan solidariti.
Usaha ini mengingatkan bahawa kekuatan sebenar bukan sekadar pada mempertahankan negara, tetapi juga pada keupayaan membantu dan menyokong mereka yang memerlukan, tanpa mengira di mana mereka berada.
The post Komuniti ATM Terima Lebih RM500,000 Sumbangan LTAT Dan Syarikat Kumpulan appeared first on Siakap Keli.
Game Center
Game News
Review Film
Rumus Matematika
Anime Batch
Berita Terkini
Berita Terkini
Berita Terkini
Berita Terkini
review anime