Bermula Sebagai Penyelidik, Saintis Nuklear Malaysia Wakili Negara Di Scientific Forum IAEA
Bermula Sebagai Penyelidik, Saintis Nuklear Malaysia Wakili Negara Di Scientific Forum IAEA
Setiap orang tidak pernah mengetahui perjalanan hidupnya pada masa hadapan.
Ada yang sejak kecil menyimpan impian untuk menjadi seorang arkitek, namun takdir membawanya memilih jalan sebagai seorang guru tanpa pernah dirancang.
Kehidupan sering kali penuh dengan kejutan, dan di situlah tersimpan hikmah yang membentuk jati diri serta tujuan sebenar seseorang.
Dalam segmen ‘Ini Kisah Aku’ kali ini, Siakap Keli mengetengahkan kisah inspirasi seorang Pengarah Bahagian Agroteknologi dan Biosains di Agensi Nuklear Malaysia.
Dr. Zaiton pernah dihantar ke University of Georgia
Bermula sebagai Pegawai Penyelidik selama 24 tahun, Zaiton binti Ahmad kini memegang jawatan Pengarah sejak September 2024.
Beliau bertanggungjawab merancang dan memantau aktiviti R, D, C & I di peringkat bahagian, di samping berperanan sebagai Pegawai Penyelidik dalam bidang kepakaran kultur tisu serta biak baka mutasi tanaman.
Dr. Zaiton memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Bengkal, Batu Pahat dari tahun 1975 hingga 1980 sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Tun Aminah, Batu Pahat pada tahun 1981 hingga 1985.
Selepas memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau menerima tawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian ke Kolej Pengajian Persediaan (KPP/ITM), Shah Alam dari tahun 1986 hingga 1989 sebagai persediaan ke Amerika Syarikat.
Pada tahun 1989, beliau dihantar melanjutkan pengajian ke University of Georgia, Amerika Syarikat dalam bidang Mikrobiologi.

Setelah menamatkan pengajian dan kembali ke Malaysia pada tahun 1992, Dr. Zaiton memulakan kerjaya sebagai Pembantu Penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pada masa yang sama, beliau mendaftar pengajian Sarjana (MSc) pada tahun 1996 dengan menggunakan pembiayaan sendiri.
Pada tahun yang sama, beliau menyertai TropBio Research Sdn. Bhd. sebagai Research Scientist dan meneruskan pengajian peringkat Sarjana.
Usaha gigih beliau membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Mikrobiologi dan Bioteknologi Tumbuhan dari UKM pada tahun 1998.

Sekitar tahun 2000, Dr. Zaiton melangkah setapak lagi dengan mendaftar pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Genetik di UKM, juga dengan pembiayaan sendiri.
Pada tahun 2002, beliau menyertai Agensi Nuklear Malaysia sebagai Pegawai Penyelidik dan seterusnya menamatkan pengajian PhD pada tahun 2004, sebelum menghadiri Majlis Konvokesyen pada tahun 2005.
Dengan pengalaman lebih dua dekad dalam bidang penyelidikan, Dr. Zaiton akhirnya dilantik sebagai Pengarah Bahagian Agroteknologi dan Biosains pada September 2024.
Ia sekali gus mencerminkan perjalanan kerjaya yang dibina melalui komitmen, ketekunan dan dedikasi tinggi dalam bidang sains dan penyelidikan.
“Inilah laluan kerjaya yang telah Allah lorongkan buat saya”
Apabila ditanya tentang faktor yang mempengaruhi minat dan hala tuju hidupnya sehingga memilih bidang tersebut, Dr. Zaiton menjelaskan bahawa sebaik sahaja beliau pulang ke Malaysia pada tahun 1992, beliau telah dihubungi oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung tawaran jawatan sebagai Pembantu Penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dalam masa yang sama, pegawai berkenaan turut menasihatkan beliau agar menerima tawaran tersebut.
“Saya bersyukur kerana inilah laluan kerjaya yang telah Allah lorongkan buat saya,” katanya.

Menurut ibu kepada dua anak itu, beliau memulakan kerjayanya dalam bidang bunga-bungaan.
Dengan menggunakan teknologi nuklear seperti sinaran gama dan alur ion, beliau berjaya menghasilkan bunga dalam pelbagai bentuk dan warna dalam tempoh yang singkat.
Beliau juga telah berjaya membukukan hasil kajian ini dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka bertajuk “Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan” yang telah dilancarkan pada 27 Mei 2025 di PWTC.

Benih bunga hasil kajiannya ketika itu digunakan oleh Jabatan Landskap Negara, nurseri dan individu perseorangan.
“Kini saya berkerja dengan tanaman-tanaman lain seperti kenaf, rumput ternakan. Saya bukan saja dapat berjumpa dengan rakan dari pelbagai agensi, tetapi juga dengan petani dan usahawan
“Saya juga banyak belajar daripada mereka,” jelas Dr. Zaiton kepada SK.

Dalam kehidupan profesional, tiada siapa yang terlepas daripada menghadapi cabaran.
Cabaran itu berperanan untuk mengasah kemahiran dan membina ketahanan diri.
Begitu juga dengan pengalaman Dr. Zaiton pada awal 1990-an, yang merasa takut dan cemas ketika perlu bercakap di khalayak ramai, terutamanya semasa membentangkan kertas kajian di atas pentas.
Sebagai seorang saintis, beliau terpaksa menghadapi situasi ini kerana membentangkan hasil kajian di persidangan adalah sebahagian daripada tanggungjawab profesional.
“Setiap kali naik ke pentas, saya berniat untuk bercakap dengan ikhlas dari hati. Alhamdulillah, kini rasa gugup itu telah hilang dan saya dapat menyampaikan dengan tenang seperti biasa,” tambahnya.
Temui minat sebenar di UKM
Sejak kecil, minat Dr. Zaiton berbeza mengikut peringkat umur.
Semasa di sekolah, beliau merupakan seorang pelari pecut (sprinter) yang sering mewakili sekolah, sehingga pernah terlintas di fikirannya untuk menjadi seorang ahli sukan.
Selepas menamatkan pengajian BSc, beliau pernah memohon jawatan sebagai penterjemah buku di Dewan Bahasa dan Pustaka, tetapi permohonannya tidak berjaya.
Namun, selepas memulakan kerjaya sebagai pembantu penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau menemui minat sebenar dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan tidak pernah terfikir untuk menukar bidang lagi.

Setiap orang mempunyai pengalaman yang tidak dapat dilupakan dalam kerjaya mereka.
“Bekerja dengan tanaman bermakna kita menghadapi pelbagai cabaran, termasuk cabaran biotik seperti penyakit dan perosak, serta cabaran abiotik seperti cuaca
“Pernah kami menempuh perjalanan panjang ke Perlis untuk mengumpul data dan menuai benih kenaf

“Namun, setibanya di sana, hujan berterusan selama dua hari menyebabkan kami terpaksa pulang ke Bangi dengan tangan kosong, kerana biji benih tidak boleh dituai semasa musim hujan dan berisiko rosak,” ujar beliau.
Kongsi pencapaian yang paling membanggakan dalam hidupnya
Secara peribadi, terdapat dua pencapaian yang dianggap sangat bermakna dalam kerjayanya.
Pertama, pada tahun 2019, beliau berjaya membantu Nuklear Malaysia memperoleh pengiktirafan sebagai Pusat Kolaborasi Antarabangsa untuk Rumah Hijau Gama daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Pengiktirafan ini penting bagi negara untuk mengesahkan Rumah Hijau Gama sebagai pusat rujukan utama serantau bagi penyelidikan mutasi tumbuhan menggunakan sinaran gama kronik serta menyediakan latihan kepada felo-felo dalam dan luar negara.
Kedua, beliau berpeluang menjadi salah seorang panel dalam Scientific Forum IAEA pada tahun 2024 di Austria, berdiri bersama beberapa saintis antarabangsa yang cemerlang.

Ia merupakan satu pengalaman yang dianggap sebagai detik bersejarah dalam sepanjang kerjayanya.
Adakalanya, hidup membuatkan kita berasa hampir berputus asa.
Namun, Dr. Zaiton mengekalkan motivasinya dengan meneliti kisah kejayaan penyelidik lain, sama ada melalui media massa atau semasa menghadiri persidangan.
‘Rahsia’ mengimbangi tuntutan kerja dan kehidupan peribadi
“Sekiranya tiada permohonan kerja adhoc, saya biasanya menyiapkan semua urusan kerja dalam waktu pejabat
“Alhamdulillah, saya bukan jenis yang mudah bosan, jadi dapat menumpukan perhatian untuk menyelesaikan tugas satu per satu (deep work) semasa waktu pejabat

“Kebanyakan hari, saya tidak perlu membawa kerja pulang ke rumah,” maklum beliau.
Ketika ini, beliau juga sedang menyiapkan buku ilmiah, jadi beliau akan menulis di rumah apabila mempunyai waktu terluang.
Stigma terhadap perkataan “nuklear”
Sering kali, apabila kita mendengar tentang tenaga nuklear, yang terlintas di fikiran biasanya ialah bahan letupan atau imej kemalangan loji nuklear yang menimbulkan rasa bimbang dan ketakutan.
Gambaran ini wujud kerana media dan sejarah dunia sering menonjolkan kesan buruk daripada penggunaan tenaga atom.
Menurut Dr. Zaiton, tidak dinafikan, Nuklear Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dalam usaha meningkatkan penerimaan masyarakat terhadap teknologi nuklear.

Ramai masih skeptikal dan terpengaruh dengan persepsi negatif, seperti kemusnahan dan senjata nuklear.
“Di Agensi Nuklear Malaysia, kami berusaha mempromosikan penggunaan teknologi nuklear secara aman dalam pelbagai bidang kehidupan, termasuk perubatan, perindustrian, alam sekitar, dan pertanian. Justeru, tagline kami ialah “Nuklear Untuk Rakyat”
“Kami mempunyai Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030, yang menjadi sandaran dan hala tuju kajian teknologi nuklear di Malaysia,” ujar beliau lagi.
Dr. Zaiton menjelaskan jika digunakan dengan betul, teknologi nuklear mempunyai banyak manfaat dalam pelbagai bidang.
Di China, misalnya, terdapat sekitar 825 baka baharu tanaman yang dihasilkan melalui teknologi nuklear dengan kawasan penanamannya meliputi jutaan hektar.
“Mereka melihat banyak manfaat yang boleh didapati dari penggunaan teknologi nuklear ini,” ujarnya.

Justeru, tidak hairanlah semua negara berlumba-lumba membangunkan teknologi nuklear.
Contohnya seperti dalam bidang pertanian, teknologi ini bukan digunakan untuk membina senjata, tetapi menjadi “senjata” yang membantu memastikan keterjaminan bekalan makanan negara masing-masing.
Apabila hasil kajian memberi kesan langsung kepada petani dan manfaatnya turut dapat dirasai serta diterima oleh seluruh masyarakat, Dr. Zaiton merasa gembira dan bersyukur.
Difahamkan, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara tidak hanya terhenti di makmal, sebaliknya diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat.
Tumpuan diberikan kepada komuniti luar bandar menerusi pemerkasaan bidang pertanian pintar pengurusan air serta adaptasi terhadap perubahan iklim.
Sepanjang kerjayanya, antara perkara paling penting yang beliau pelajari ialah keperluan untuk membentuk pasukan projek yang terdiri daripada pelbagai disiplin dan bukan tertutup kepada satu bidang sahaja.

“Sebagai contoh, sesebuah projek biak baka mutasi tanaman yang berjaya sering menggabungkan kepakaran ahli projek dari pelbagai bidang seperti ahli genetik dan bioteknologi, ahli kimia untuk analisis nutrisi serta ahli sains tanah
“Di samping itu, ahli agronomi serta sokongan teknikal daripada aspek kejuruteraan dan IT,” jelasnya kepada SK.
Kemahiran yang perlu dimiliki untuk berjaya dalam bidang ini
Bagi Dr. Zaiton, terdapat beberapa kemahiran penting yang perlu dimiliki oleh seorang saintis.
Antaranya ialah pemikiran kritis, iaitu keupayaan menganalisis dan menilai maklumat secara objektif serta membuat pertimbangan yang munasabah.
Pada masa yang sama, individu perlu bersikap terbuka terhadap pandangan orang lain demi menambah baik sesuatu ujikaji atau projek.

Sebagai pesanan kepada generasi akan datang dalam bidang ini, Dr. Zaiton menekankan kepentingan memilih satu bidang kepakaran dan menguasainya sebaik mungkin sehingga menjadi Pakar Bidang (Subject Matter Expert).
“Ini akan meningkatkan kualiti dan kredibiliti seseorang penyelidik,” katanya lagi.
Beliau turut menggalakkan generasi muda agar berani menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kerana bidang ini bukan sahaja menawarkan peluang kerjaya yang luas, malah memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan negara.
Menurut beliau, minat yang dipupuk sejak awal, disertai dengan usaha yang berterusan dan sikap ingin tahu yang tinggi, mampu melahirkan lebih ramai pakar tempatan yang berdaya saing di peringkat global
Berita Terkini
Berita Terbaru
Daftar Terbaru
News
Jasa Impor China
Berita Terbaru
Flash News
RuangJP
Pemilu
Berita Terkini
Prediksi Bola
Technology
Otomotif
Berita Terbaru
Teknologi
Berita terkini
Berita Pemilu
Berita Teknologi
Hiburan
master Slote
Berita Terkini
Pendidikan
Resep
Jasa Backlink
Slot gacor terpercaya
Anime Batch